Adakah berbaloi jika beli atau jual "Kereta Sambung Bayar".
Bagaimana dengan risiko? Tidak dinafikan ramai yang beli kereta sambung
bayar. Tetapi tahukah anda apakah risiko-risiko yang akan dihadapi jika
membeli kereta sambung bayar?
Ada yang kata ada perjanjian, apa nak takut. Kalau berlaku apa-apa,
perjanjian ini sah di mahkamah. Ya, nampak memang mudah. Hakikatnya
ramai yang tidak sedar bahawa beli atau jual "Kereta Sambung Bayar" terdedah dengan pelbagai risiko yang tidak diduga.
RISIKO KEPADA PENJUAL
1. TERBABIT KES JENAYAH
Jika pihak ketiga menyalahgunakan kenderaan anda untuk kegiatan
jenayah, pemilik kenderaan asal, iaitu anda akan menanggung segala
risiko. Salah langkah boleh menyebabkan anda selaku pemilik asal,
didakwa.
2. SAMAN
Tahukah anda segala saman atau kompaun yang dikenakan terhadap
kenderaan anda akan memberi kesan kepada pemilik kereta dan bukannya
pihak ketiga yang membelinya?
3. PEMBELI TIDAK BAYAR ANSURAN
Anda harus ingat, kebanyakan mereka yang membeli kereta sambung bayar
kebiasaannya memiliki rekod buruk seperti nama disenarai hitam, ada
masalah kewangan dan sebagainya. Jadi mereka berisiko untuk tidak bayar
ansuran. Akibatnya, anda terpaksa tanggung hutang. Padan muka!
4. JUAL ATAS JUAL
Tahukah anda ada sesetengah kes melibatkan jualan atas jualan?
Andaikan anda jual kenderaan secara sambung bayar kepada A. Dua bulan
kemudian, A jual semula kenderaan tersebut secara sambung bayar kepada B dengan mengaut keuntungan atas angin.
Akibatnya, anda tidak tahu siapa pemilik ketiga berkenaan. Bagaimana
jika bayaran bulanan tidak dibuat kepada pihak bank? Siapa yang perlu
anda tuntut?
RISIKO KEPADA PEMBELI
5. PEMILIK KENDERAAN MATI
Jika pemilik kenderaan meninggal dunia, pihak waris berhak meminta
anda mengembalikan kenderaan walaupun ada perjanjian. Waris tidak peduli
siapa anda.
6. TIDAK DAPAT TUKAR NAMA
Anda sudah habis langsai ansuran, apakah anda yakin nama pemilik akan
bertukar? Bagaimana jika pemilik kenderaan asal mahu ambil kembali
kereta dia? Mahu larikan kereta?Mahu tidak mahu anda perlu serahkan
kembali kenderaan itu.
7. KERETA TIDAK BOLEH JUAL KEPADA ORANG LAIN
Selagi nama pemilik tidak bertukar, anda tidak boleh jual kereta itu
kepada orang lain walaupun hutang sudah langsai. Proses pertukaran hak
milik memerlukan pemeriksaan kereta di PUSPAKOM sebelum menukar nama di
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Untuk proses pertukaran nama, pemilik
asal perlu hadir ke JPJ. Bagaimana jika pemilik asal sudah meninggal
dunia? Jawapannya, gunalah kereta itu sampai akhir hayat. Itupun jika
tiada mana-mana waris datang tuntut.
8. TIADA TUNTUTAN INSURANS
Apabila berlaku kemalangan total lost, kos ganti rugi akan
diberikan terus kepada pemilik kenderaan. Apakah anda yang bayar ansuran
setiap bulan akan menerima pampasan itu. Jawapannya, TIDAK MUNGKIN!
Penat-penat bayar setiap bulan, akhirnya satu sen pun tak dapat.
9. RISIKO DITUDUH KERETA CURI
Ada juga kemungkinan anda disyaki pencuri jika pemilik kenderaan buat
laporan polis yang menyatakan kereta dia dicuri. Anda tunjukkan surat
perjanjian kononnya sudah ditandatangani. Malangnya, itu bukan
tandatangan sebenar pemilik asal. Dia menipu tandatangan! Akhirnya, anda
dijemput ke tirai besi sambil dijamukan masak lemak cili api (kalau
ada).
10. INGAT, SURAT PERJANJIAN TIDAK LAKU
Walaupun ada perjanjian antara anda dan pemilik kenderaan asal, ia
tetap tidak laku. Pemilik asal memiliki kuasa mutlak ke atas
kenderaannya. Bila-bila masa dia boleh minta balik kenderaannya dan anda
perlu serah semula.
"JAUHILAH SKIM KERETA SAMBUNG BAYAR"